Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di pertengahan bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1432 ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.
Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya
Bulan ketujuh Hijrah punyai kedudukan tersendiri sama ada pada zaman Jahiliah mahupun Islam
BERBANDING bulan-bulan Tahun Masihi, bulan pada tahun Hijrah sebaliknya hanya memiliki satu nama yang dikhususkan kepada seseorang iaitu bulan Rejab manakala yang lainnya diambil sempena keadaan musim ketika itu seperti Ramadan yang merujuk musim panas.
Separuh bulan pada tahun Masihi turut mengambil nama orang seperti Mac (nama dewa peperangan) dan Ogos (nama seorang raja) manakala bakinya pula mengikut urutan seperti September dan Disember; dan hanya dua nama bulan yang diperuntukkan kepada musim yakni Januari dan Februari.
Bagi Rejab, sebagai bulan ketujuh dalam tahun Hijrah, mempunyai kedudukannya tersendiri sama ada pada zaman Jahiliah mahupun Islam. Cukuplah bukti keutamaan Rejab dipetik sebuah hadis yang menyatakan apabila Rejab tiba, Baginda Rasulullah SAW sentiasa berdoa dengan doanya yang masyhur “Allahumma barik lana fi Rajab wa ballghna Ramdan” atau ertinya, “Wahai Allah, anugerahkanlah keberkatan Rejab kepada kami dan kurniakanlah kehidupan kepada kami sehingga kami berjumpa dengan bulan Ramadan.”
Rejab termasuk satu daripada empat bulan yang disebut al-Quran sebagai al-Asyhur al-hurum atau ‘Bulan Yang Dihormati’ dalam ayatnya yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36).
Hakikat ini ditegaskan dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu sudah kembali seperti keadaannya pada waktu Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan yang dihormati dan yang tiga berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dan Rejab adalah bulan Mudhar – bulan yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. (Hadis riwayat Muslim).
Antara sebab mengapa empat bulan itu dihormati adalah kerana dalam semua bulan itu dilarang melakukan apa-apa yang berkaitan dengan peperangan pada zaman Jahiliah yang dipetik hadis bermaksud: “Utusan Abdul Qais datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, kami berasal dari wilayah Rabi’ah. Antara kami dan engkau, terhalang oleh orang kafir Bani Mudhar. Kerana itu, kami tidak dapat datang kepadamu kecuali pada bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Oleh itu, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang dapat kami kerjakan dan kami seru kepada orang di belakang kami.
Rasulullah SAW bersabda: “Aku memerintahkan kepada kalian empat perkara dan melarang kalian daripada empat perkara. (Perintah itu ialah) beriman kepada Allah kemudian beliau menerangkannya. Beliau bersabda: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat dan memberikan satu perlima harta rampasan perang kalian. Dan aku melarang kalian dari arak dubba’ (arak yang disimpan dalam tempurung), arak hantam (arak yang disimpan dalam kendi yang terbuat dari tanah, rambut dan darah), arak naqier (arak yang disimpan dalam kendi diperbuat daripada batang pohon) dan arak muqayyar (arak yang disimpan dalam potongan tanduk).” (Hadis riwayat Muslim).
Kemuliaan Rejab turut dipetik bangsa Arab dalam peribahasa mereka yang menyebut ’Isy rajaban tara ’ajaban yakni hiduplah dari Rejab ke Rejab maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban. Rejab dalam peribahasa ini dikiaskan sebagai tahun. Dalam Islam ia juga dimuliakan sehingga perkara sama juga kita dapati dalam syair bahasa Melayu yang menyebut “Rejab bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, Ramadan bulan menuai. Rejab menyuci badannya, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya. Rejab bulan maghfirah, Syaaban bulan syafaat dan Ramadan bulan menggandakan pahala.”
Adat istiadat jahiliah yang dilakukan pada Rejab yang kemudian dilarang Islam adalah seperti dalam sebuah hadis maksudnya: “Tidak ada lagi fara` (anak unta pertama yang disembelih untuk berhala-berhala mereka) dan tidak pula ’atirah (haiwan ternak yang disembelih pada sepuluh hari pertama dari bulan Rejab. (Hadis riwayat Muslim).
Dari segi bahasa ‘Rejab’ bermakna ‘memuliakan, mengagungkan.’ Ibn Rajab al-Hanbali mengatakan bahawa Rejab mempunyai 14 nama termasuk Munassil al-Alsinah; Munaffis; al-Asamm; Mutahhir; Mu’alli; Muqim; Haram; Muqasyqisy; Mubri’; Fard dan Rajab Mudhar (Rejab Mudhar).
Rejab dikhaskan kepada puak Mudhar oleh Baginda sebagai pengiktirafan kepada mereka yang turun menurun sudah memelihara kesucian dan kehormatannya.
Rejab adalah bulan pemanasan untuk menghadapi bulan melipatgandakan pahala pada Ramadan dan ia disebut Rasulullah sebagai Syahrullah atau Bulan Allah sedangkan bulan khas Baginda adalah bulan Syaaban manakala bulan bagi umat Baginda adalah bulan Ramadan.
Apa yang perlu kita perhatikan menerusi Rejab pada masa kini, adalah daripada sudut perbincangan bidaah amalan Rejab adalah musibah yang menimpa umat Islam dengan penawanan Baitulmaqdis di Palestin.
Mungkin ada satu kesengajaan bahawa ia ditawan oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 ketika negara Israel ditubuhkan kerana ia bersamaan 6 Rejab 1367H selepas ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Mungkinkah Baitulmaqdis kembali kepada kita Rejab ini? Atau Rejab tahun depan? Atau bila?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan