Himpunan Kebangkitan Ulama dan Rakyat di Stadium Suka Menanti Alor Setar 19.10.2013

Himpunan Kebangkitan Ulama dan Rakyat di Stadium Suka Menanti Alor Setar 19.10.2013

Isnin, 2 September 2013

Keluarga Contoh


(Duduk dari kanan) Fatimah, Ishak, Haron, Rokiah, Abu Hassan manakala belakang Che Bee, Mariah, Jariah, Siti Khadijah dan Che Wangi merupakan anak-anak bertuah pasangan Lebai Din dan Che Teh.




MENGERATKAN ikatan kekeluargaan amat digalakkan oleh Islam kerana institusi berkenaan merupakan tunggak kekuatan ummah dan asas keharmonian sesebuah tamadun.
Sebab itu, Islam memandang berat kebahagiaan sesebuah institusi keluarga dan hal ini boleh diperhatikan melalui seruan Allah dalam al-Quran dan saranan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Bermula daripada proses perkahwinan seterusnya kelahiran anak sehinggalah ke alam kematian yang dilandasi oleh aturan syariat dan akhirnya wujud pengurusan ilmu faraid, munakahat dan sebagainya.
Salah satu penegasan terhadap soal itu diluahkan oleh hadis yang disebut di atas. Manakala sepotong al-Quran telah menyatakan hal sama menerusi firman Allah dalam ayat 21 surah al-Rum bermaksud: Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah ialah mencipta untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah), sesungguhnya demikian itu benar terdapat tanda-tanda orang-orang yang berfikir.
Atas kewajipan dan kesedaran itulah, terdapat umat Islam di negara ini yang menitikberatkan ikatan kekeluargaan dengan melakukan pelbagai inisiatif untuk mengikat dan mengukuhkan institusi berkenaan.
Salah satu usaha berkenaan adalah penganjuran majlis pertemuan keluarga yang bertujuan menghimpunkan generasi awal dan akhir di bawah satu bumbung dengan diserikan pelbagai acara.
Bahkan kehadiran Syawal baru-baru ini telah digunakan oleh beberapa keluarga untuk menganjurkan majlis pertemuan termasuklah keluarga besar Haji Lebai Din yang terdiri daripada tiga tokoh agama tanah air seperti Datuk Abu Hassan, Datuk Dr. Haron dan pendakwah bebas, Ishak.
Ketiga-tiga tokoh pendakwah itu yang merupakan 10 anak-anak kepada pasangan Din Wan Awang dan isterinya, Che Teh Wan Nik.
Keluarga besar Haji Lebai Din yang pada mulanya terdiri daripada Fatimah, Ishak , Haron, Rokiah, Abu Hassan, Che Bee, Mariam, Jariah, Siti Khadijah dan Che Wangi akhirnya telah berjaya menghimpunkan seramai 230 ahli keluarga pada pertemuan baru-baru ini.
Walaupun sudah kali ke-23 diadakan, Abu Hasan yang pernah bertugas sebagai Pegawai Agama Istana Negara ketika ditemui berkata, pertemuan itu sudah menjadi kewajipan, apatah lagi menghadirinya adalah satu kemestian.
Jelas Abu Hassan, majlis pertemuan yang diadakan pada hari kedua atau ketiga pada bulan Syawal setiap tahun diadakan mengikut giliran kediaman 10 adik-beradiknya dan diuruskan dengan kewujudan sebuah jawatankuasa khas.
Tokoh agama berkenaan mengakui, bukan sesuatu perkara mudah untuk menganjurkan acara seumpama itu pada setiap tahun. Tetapi dengan kerjasama setiap ahli keluarga Haji Lebai Din termasuklah jawatankuasa, tugas itu menjadi mudah.
Ditanya bagaimana cetusan idea mengadakan majlis berkenaan bermula, Abu Hassan berkata, buah fikiran berkenaan timbul selepas masing-masing menyedari sedikit demi sedikit ahli keluarga berhijrah ke seluruh pelosok tanah air daripada kampung halaman di Perlis.
"Selain itu, saban tahun ahli keluarga Haji Lebai Din bertambah dengan perkahwinan seterusnya kelahiran. Maka difikirkan agar diadakan untuk mengumpul seluruh kerabat agar mereka kenal-mengenal antara satu sama lain.
"Alhamdulillah sehingga kini, acara ini masih berjalan dan saya berharap walaupun kami selaku generasi kedua sudah tiada lagi, majlis pertemuan ini dapat diteruskan oleh sehingga bila-bila masa," kata Abu Hassan.
Aktiviti agama
Bukan mudah mengumpul seluruh ahli keluarga, apatah lagi kepada kaum kerabat yang telah berumahtangga apabila tiba giliran beraya bersama keluarga mentua. Tetapi situasi itu tidak berlaku terhadap keluarga Haji Lebai Din.
Abu Hassan berkata, atas sebab itulah pihaknya mengadakan majlis pertemuan keluarga pada hari raya kedua atau ketiga agar masing-masing sempat menghadirinya.
"Tidak pernah kami 10 beradik gagal hadir sepanjang 23 tahun diadakan. Kecuali jika anak saudara atau cucu berada di luar negara kerana melanjutkan pelajaran," jelas Abu Hassan.
Jika tahun lepas, majlis berkenaan diadakan di kediamannya di Batu Muda, Sentul, tahun ini pada 3 Syawal lalu telah berlangsung dengan sempurna di rumah adik beliau di Perlis.
Bermula seawal pukul 8 pagi, jelas Abu Hassan, aktiviti bermula dengan majlis tahlil dan bacaan al-Quran. Kemudian diteruskan melalui pengagihan duit raya, penyampaian hadiah, aktiviti sukaneka, kuiz dan lain-lain lagi.
Dengan kelebihan tiga tokoh agama yang berada dalam keluarga besar itu, mereka telah diminta oleh jawatankuasa penganjur untuk menyampaikan forum berkisar isu-isu kekeluargaan selepas waktu Zuhur.
Abu Hassan menambah, pada setiap majlis itu akan dikejutkan oleh pengumuman istimewa oleh abangnya, Haron sama ada dengan tajaan mengerjakan haji atau tawaran bercuti ke luar negara untuk keluarga terpilih.
"Itulah yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli keluarga, tetapi tahun ini tiada pengumuman istimewa oleh Ustaz Haron," seloroh Abu Hassan.
Dalam pada itu, Abu Hassan berkata, tawaran pelbagai hadiah bukan matlamat majlis berkenaan diadakan tetapi pokok utama adalah setiap kaum kerabat keluarga Lebai Din dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sayang-menyayangi sesama sendiri.
"Pada akhir program, kami akan mengadakan mesyuarat agung dan muhasabah yang akan menyentuh perjalanan majlis pertemuan itu dan pada masa berkenaan, setiap ahli keluarga boleh menegur mana-mana individu jika mereka tidak berpuas hati.
"Jika diimbas kembali, pada masa itulah ikatan akan bertaut kerana wujud kasih-sayang di sebalik teguran dibuat dan inilah rahsia ukhuwah keluarga Haji Lebai Din sehingga kini," jelas Abu Hassan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130822/ba_01/Pertemuan-keluarga-besar#ixzz2dmy14pyp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan